Ads 468x60px

.

Labels

Memaparkan catatan dengan label Petikan Novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petikan Novel. Papar semua catatan

9 Mac 2013

Coretan Hati (Sodrina)


Sodrina menarik nafas panjang kemudian menghembuskannya semula. Udara segar pagi itu memang sentiasa ditunggu-tunggu. Dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kedua-dua kocek jaket putihnya.
“Kenapa?”
Sodrina menoleh di sebelahnya. Lelaki berjaket putih itu memandangnya kejap. Entah kenapa mata itu nampak layu tetapi bersinar seperti memendam sesuatu masalah tapi cuba dikawal dengan baik.
“Apa?” jawab Sodrina dengan soalan.
“Kenapa?” untuk kali yang kedua, lelaki itu bertanya. Lemah benar suara itu pada kali ini.  
“Apa?” jawapan yang sapa diutarakan Sodrina kepada lelaki itu. dia masih tidak mengerti apa mahu lelaki itu. Dia bukan kenal sangat dengan lelaki itu tapi sejak kebelakangan ini dia seperti rapat dengan Yusof, lelaki yang berdiri di sebelahnya.
“Awak tak faham hati lelaki.”
“Sebab saya bukan lelaki,” jawab Sodrina, pendek.
“Saya suka cara awak.”
Sodrina diam. Jika dilayan semakin berbelit penyampaian lelaki itu.
“Boleh saya pegang awak?”
Sodrina berasa terkejut dengan soalan itu. Dahinya berkerut kecil. “Sudah tentu tidak boleh.” Dia berundur dua langkah ke kiri apabila Yusof menghampirinya dengan bergerak satu langkah ke kiri.
“Kenapa?” soal Yusof acuh tak acuh.
“Sebab kita bukan muhrim,” jawap Sodrina, menjeling Yusof sekilas.
“Oh, kalau macam tu  jom kita kahwin!”
            Terdiam Sodrina mendengar kata-kata Yusof. Lelaki ini biar betul!
            “Tadi awak kata saya tak boleh pegang awak sebab kita bukan muhrim. Lepas kita kahwin, dah tentu kita muhrim, kan?”
            Sodrina mendengus halus. Lama dia diam. Sudah pasti dia tidak mahu kalah dengan lelaki yang sedang menatapnya itu. “Jadi, awak nak kahwin dengan saya hanya kerana awak nak pegang saya?”
            Yusof ketawa sejurus mendengar kata-kata Sodrina itu. Sodrina sendiri tidak tahu, adakah soalannya itu soalan lucu?
            “Bukan begitu, cik Ina. Saya nak kahwin bukan nak pegang tangan awak aje. Saya nak kahwin dengan awak sebab hati saya nak pegang hati awak.” Lancar saja Yusof berkata begitu. Nadanya seperti tulus saja pada pendengaran Sodrina membuatkan dia mati kata-kata.
            Beberapa minit mereka begitu; diam. Hanya bunyi kicauan burung yang menghiasi sepi mereka.

*Sodrina: Mungkin dia fikir aku sudah menutup kotak memori itu...

7 Okt 2012

Menutup Itu Indah.

Bismillah Ar-rahman AR-rrahim.
 Assalamu'alaikum saudara-saudara seIslamku. Alhamdulillah, hari ini kita diberi nikmat lagi; nikmat hidup. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Rasa nak tulis banyak-banyak 'alhamdulillah' tadi. Sebutlah, 'alhamdulillah'. Kalimat ini sangat bermakna. Sungguh! (Senyum gembira)

     Baiklah. Entah kenapa hati terpanggil untuk berkongsi sesuatu melalui tulisan berkenaan dengan wanita dan aurat. Wanita(muslimah) tidak boleh dipisahkan dengan aurat. Seperti yang kita ketahui, wanita Islam wajib menutup auratnya yakni seluruh tubuh badan kecuali pergelangan tangan dan wajah. Ini bermakna, selain daripada dua anggota badan tadi wajib ditutup. Tak kisahlah nak tutup dengan baldi, tikar, telekung, selimut dan sebagainya asalkan tutup aurat. Tetapi awas! Tutup aurat tidak sama dengan membalut aurat. Faham, bukan?

     Kalau membalut aurat ni memang tak betullah. Tamsilnya, seorang wanita Islam yang memakai pakaian ketat menutup seluruh anggotanya. Ini salah. Pakaian ketat itu sebenarnya menampakkan susuk tubuhnya. Maka, itu bukan menutup aurat. Teringat kata-kata ustaz popular yang lahir di Terengganu iaitu Ustaz Azhar Idrus. Kata beliau, wanita tak wajib bertudung tetapi wajib menutup aurat. Faham, kan?

     Satu perkara lagi yang sering mengetuk pintu hati saya mengenai aurat wanita iaitu aurat kaki. Kaki juga merupakan aurat bagi seseorang wanita Islam. Maka, mengapa tidak tutup kaki tu. Guna sarung kaki tak susah, kan? Tak mahal, kan? Bukankah menutup itu indah? Menutup aurat itu indah.

Muslimah Solehah Sejati(MSS) suka menutup kerana menutup itu indah! *Senyumlah.

p/s: MSS yang suka menutup bukan hanya tahu menutup aurat sahaja malah tahu menutup aib orang lain. *Senyumlah lagi.

“Jadilah seperti buah epal yang terletak tinggi di atas pokoknya yang susah digapai oleh tangan-tangan manusia. Jadilah seperti buah epal yang masak dan segar di sebalik dedaunnya yang menghijau dan sukar dilihat oleh pandangan manusia. Jadilah seperti epal yang hanya akan di petik oleh manusia yang ikhlas dan berusaha untuk mendapatkannya dengan penuh ketakwaan dan keimanan.”


“Wanita adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”


Assalamu'alaikum ...

Petikan biasa lagi...


Jangan minum;
Jangan minum dosa,
Kelak mengenal bahana.
            "Ina, kenapa saya tengok Ina kurang bersemangat hari ini?” Akhirnya  pertanyaan yang dipendam beberapa minit itu diutarakan juga oleh Imah, teman baik Sodrina. Risau mula bertapak di hatinya apabila melihat wajah Sodrina yang kelihatan tidak bermaya seperti biasa dan berkerut tanda tidak puas hati terhadap sesuatu atau mungkin terhadap seseorang? Dia sendiri tidak pasti. Apa yang pasti wajah milik temannya itu tidak tenang sejak pulang dari bandar tadi.
            Diam.
Sepi.
Sunyi.
Toing! Toing! Kring! Kring! Toing! Kring! 
Deringan telefon jelas kedengaran di cuping Imah tetapi dia tidak peduli kerana itu bukan deringan telefonnya mahupun deringan telefon Sodrina. Itu nada dering telefon bimbit di bilik sebelah.
"Ina…" Belum sempat Imah menghabiskan susunan ayat yang baru direkanya, terdengar suara Sodrina mencelah.
"Ina nak rehat," kata Sodrina ringkas. Dikerlingnya seketika jam di dinding bilik mereka. Masa yang sesuai untuk memuaskan tuntutan sunnah Rasulullah; qailullah sangat berkesan baginya untuk mudah bangun solat tahajjud pada malam hari.
Imah senyum sambil mengangguk sedikit. Tiga patah perkataan itu sudah cukup membuatnya faham akan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Sodrina. 'Ina nak rehat' itu bermaksud temannya itu ingin tidur seketika.
Tanpa mempedulikan Imah, Sodrina mula memejamkan matanya. Kerutan kecil yang sejak tadi menjadi perhiasan pada wajahnya dikendurkan dan dikendurkan lagi sehingga kerutan itu tidak lagi kelihatan. Kemudian dia mengukir senyum kecil di bibir. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan melalui mulutnya. Hembusan nafas itu umpama keluhan berat yang ditanggungnya sejak beberapa jam tadi. Kemudian, mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu; membaca surah tiga kul dan ayatul kursi.
Imah yang melihat aktiviti Sodrina itu sudah maklum kerana memang begitu yang akan dilakukan oleh Sodrina sebelum tidur. Cuma dia dapat merasakan hembusan nafas itu terselit keluhan yang sukar ditafsirkan. Dia sendiri hairan dengan gelagat Sodrina.
‘Apa masalahnya? Bergaduhkah? Eh, itu sangat mustahil. Habis itu? Takkan marah pasal novel baru dia yang aku baca tu?Eh, tak mungkinlah! Hish! Erm, kenapa ya? Mungkinkah masalah wanita? Tidak. Mesti ada sebab lain. Apa, ya?’
Akhirnya Imah melepaskan keluhan. Penat pula dia berperang dengan kata hatinya sendiri. Soalan demi soalan dirasakan memeningkannya dan jawapan demi jawapan yang direkanya sendiri tidak diketahui sama ada benar ataupun tidak.
Sepasang mata Imah melirik pada wajah Sodrina. Wajah itu tenang saja walaupun dalam keadaan tidur begitu. Masih banyak soalan yang terkumpul dan hanya menunggu masa saja untuk diajukan kepada Sodrina. Sejak hampir dua tahun mengenali Sodrina, dia tahu perempuan yang fasih bertutur bahasa Brunei itu seorang yang berahsia dan masih banyak rahsia yang belum diketahuinya.
Imah mencapai kertas kajang yang diselit di sebuah buku yang terletak di atas meja Sodrina. Sodrina pernah memberitahunya bahawa puisi yang ditulis pada wajah kertas kajang itu masih mentah dan tidak subur. Lagipun katanya puisi itu sudah lama; tiga tahun yang lalu. Imah memerhati setiap bait kata dalam puisi itu.
 Hati…
Kenapa kau sangat sensitif?
Kenapa kau mudah tercalar?
Kenapa kau senang terluka?
Kenapa kau sering dilukai?

Sodrina …
Apa katamu tentang ini?
Apa fikirmu tentang itu?
Apa pendapatmu tentang dia?
Apa pandanganmu tentang mereka?

Wahai hati…
Nipis sungguh dindingmu,
Kecil sungguh saizmu,
Tapi hati,
Bentukmu begitu sempurna.

Wahai Sodrina
Tebalkan dindingmu,
Agar setiap butir peluru kesakitan tidak menembusimu…
Kekalkan warna naturalmu,
Agar aura fitnah tidak bisa membelaimu,
Jangan pernah pecahkan kaca imanmu,
Agar kau dipandang mulia,
Dunia dan akhirat...

Imah senyum. Sudah beberapa kali rasanya dia membaca puisi itu dalam hati. Dia amat suka pada dua rangkap terakhir. Imah menarik nafas dan mengukir senyum. Fikirannya terbang mengingatkan seseorang yang disayangi.  Imah mengukir senyum lebar. Ya, dia punya misi baru! 

30 Sep 2012

Petikan Biasa Sahaja

Assalamu'alaikum ibu, ayah, keluarga, rakan-rakan, sahabat dan silent reader(s). Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas semua yang berlaku sepanjang hidup saya. Alhamdulillah. Pahit, manis, suka, duka; semuanya bercampur baur dan hasilnya begitu nikmat. Bukankah setiap ujian yakni dugaan yang Allah beri kepada kita itu nikmat? Alhamdulillah... 
Di bawah ini, (senyum simpul) hanya petikan e-novel yang masih terbengkalai yakni masih berhabuk di folder 'Novelis Hidayah'. Petikan sebelum dan selepas petikan di bawah ini sudah siap. Saja nak hias blog ini dengan bait-bait kata yang tersimpan kemas di dalam folder 'Novelis Hidayah' itu kerana petikan ini mengingatkan saya tentang satu peristiwa  di mana saya bermesra dengan aura kebahagiaan. Alhamdulillah...


__________________________________________________

Yusof samar-samar terpandang kelibat seseorang di halaman rumahnya. Tertanya-tanya dia, siapa gerangan manusia yang berkunjung di rumahnya awal pagi itu. Dia mendekati manusia itu. Semakin dia berjalan untuk mendekati manusia itu, semakin jelas pada pandangan matanya seorang perempuan berdiri menghadap taman di situ.
“Assalamu’alaikum,”
“Wa’alaikumussalam,” jawab perempuan bertudung coklat itu.
“Awak cari saya?” teka Yusof.
Perempuan itu memalingkan tubuhnya; memandang Yusof. Yusof tersentak; perempuan yang dicarinya tempoh hari.
“Awak?” hampir serentak mereka mengungkap perkataan itu.
“Awak cari saya?” ulang Yusof sekali lagi.
“Kenapa saya perlu cari awak?”
“Habis tu? Awak buat apa datang awal pagi kat sini? Seorang pulak tu?”
“Tiga soalan awak. Mana satu nak jawab dulu?”
Yusof diam. Dia berdiri di sebelah perempuan yang sudah berpaling semula menghadap taman yang kehijauan. “Awak nak bagi tahu saya sesuatu?”
“Sesuatu? Tak ada rasanya.”
“Tapi, saya ada.”
“Saya tak tanya pun,”
“Saja nak beritahu,”
“Tak nak tahu pun.” Jawab perempuan itu sambil melihat jam tangannya.
“Awak…”
“Terima kasih dah tolong saya,” pintas perempuan itu.
Yusof menoleh sekilas kepada empunya suara itu. “Sejak jumpa awak, hati saya rasa semacam?”
“Tak faham.”
“Saya rasa sakit.” Ujar Yusof terus terang.
“Adakah saya menyakitkan awak?” suara itu bernada hairan.
“Ya.” Dia mengiyakan. “Saya rasa sakit bila awak datang hanya sekejap, kemudian pergi dengan cepat.”
“Huh, jangan bermain dengan kata,”
“Tanpa kata, bagaimana mahu bicara,”  Yusof mahu perempuan itu memahaminya; hatinya.
“Saya tahu awak banyak tolong saya. Jadi, jangan jadikan itu semua sebagai umpan awak agar saya termakan dengan kata-kata awak.  Dan…”
“Sampai hati awak. Saya tak berniat begitu.” Kata-kata perempuan itu seperti menambah luka di hatinya, tapi dibiarkan saja. “Awak kata awak dah ada tunang?”
“Bukan urusan awak,”
“Saya cuma nak pastikan,”
“Untuk apa,”
“Saya tak nak, apa yang saya tunggu selama ini sudah berpunya.”
Yusof menanti kata di bibir gadis yang berjaya melukakan hatinya itu. Angin dingin menemani mereka ketika itu. Mungkin angin juga menanti bicara perempuan di sebelahnya itu.
No couple, before nikah. Saya rasa empat patah perkataan ini sudah cukup untuk awak fahamkan. Saya belum fikir soal itu. Saya masih begini; sendiri.”
Senyum mula diukir dibibir. Yusof faham benar tiap bait kata-kata itu. Jadi, dia masih ada peluang. Malah peluangnya semakin cerah. Dan dia berharap peluang untuk memenangi hati si gadis itu tetap cerah umpama cerah pagi ketika itu. Semoga tiada awan mendung yang menutupi peluangnya nanti.
“Saya tunggu awak,” ujar Yusof dengan nada yang begitu tulus.
Perempuan itu berpaling; menatap wajahnya. “Apa maksud awak?”
“Kanak-kanak tadika sudah pandai mengeja 26 huruf yang sudah diajar oleh guru mereka,” kias Yusof.
“Tapi, mungkin mereka belum pandai untuk menulis 26 huruf itu,” Yusof berasa kagum dengan kecekapan perempuan itu menangkap butir bicaranya dan yang pasti, susunan maksud tersiratnya.
“Itu gunanya guru untuk mengajar mereka semua cara untuk menulis,” balasnya. Kemudian dia diam membatu. Menunggu-nunggu saat yang sesuai. “Sudikah awak menjadi zaujah saya?” sudah lama dipendam  soalan itu. Akhirnya sampai juga pada pendengaran perempuan itu.
“ Mungkin awak salah soalan?” teka perempuan itu.
“Soalan itu soalan wajib untuk dijawab,”
“Soalan  ramalan SPM kah?
“Tidak. Bukan soalan ramalan tetapi itu benar-benar soalan SPM. Sijil Perkahwinan Malaysia. Awak calon pertama dan terakhir untuk SPM yang didaftarkan atas nama saya.” Jawabnya mematikan bicara si gadis yang suka berbasa-basi itu.
Dilihatnya perempuan itu mengetab bibir. Geram barangkali. Biarlah. Dia tidak mahu perempuan itu membiarkan tiap soalannya sepi tanpa jawapan.
“Jawapan daripada soalan akhi itu umpama kerja rumah untuk enti siapkan. Bila sudah tahu jawapannya; berithu akhi. Semoga jawapan enti tepat seperti dalam skema jawapan SPM akhi.” Ujarnya penuh berharap. Entah kenapa perkataan akhi dan enti itu begitu lancar di bibirnya. “Saya tunggu awak,” ulang Yusof.
“Itu hak akhi nak tunggu saya atau tidak. Dan andai kata akhi jumpa muslimah lain dan berkenan kepadanya, itu juga hak akhi. Semog…”
“Buat masa ini, akhi tunggu enti dulu.” Pintas Yusof. “Akhi nak tunang dengan enti, bila enti dah sedia,”
“Itu saya tak pasti,”
“Saya tidak mahu membiarkan bunga yang tertanam di hati ini layu begitu saja. Saya tidak mahu bunga yang kembang subur di hati ini dikacau dek kumbang lain. Saban hari saya menyiram bunga itu,”
“Teruskan menyiram bunga itu dengan air kesabaran. Teruskan menjaga bunga itu dengan kasih sayang bersama keyakinan jodoh.” Yusof yang mendengar senyum penuh makna.
“Dan berserahlah pada-Nya sama ada Dia mahu bunga itu terus subur di hati saudara ataupun layu begitu saja,” Yusof mengangguk yakin. Kini dia faham. Perempuan yang sedang khusyuk memerhati bunga-bunga di taman itu bukan perempuan biasa. Setiap bait katanya tidak seperti air kopi tanpa gula, dan bukan juga bunga tanpa duri.
“Saya hormati kata-kata itu dan pasti saya semat di lembaran diari.”
“Lembaran diari saja? Simpan juga di dalam kotak memori. Takut apa yang awak semat itu hanya sekadar kenangan yang tidak bergula.
Yusof menoleh lagi memandang perempuan idamannya itu. Ah! Wajah itu tenang sahaja. Dia bersuara penuh bersahaja. Bagaimana dia mahu mencuri hatinya?
            “Jangan pernah curi hati saya. Hati saya dikelilingi pagar berduri.”
            Yusof kaget. Perempuan itu pandai membaca hatinya. Itu sudah parah. Tetapi bukankah itu lebih baik? Biar perempuan bertudung coklat itu tahu bahawa hatinya benar-benar ingin memilikinya.
            “Kenapa perlu dikelilingi pagar berduri?”
            “Agar tiada yang mampu mencurinya.”
            Yusof diam seketika. “Jadi, susahlah saya ingin bersua dengan hati kamu?”
            “Hati saya bukan murahan, tidak dijual di pasar malam.”
            “Oh…Harganya?” soal Yusof, berkias.
            “Tidak ternilai” Yusof senyum mendengar jawapan itu. “Hati saya bukan seperti novel; berlambak di pasaran.” Yusof menoleh pada wajah itu bila perempuan itu menatapnya, merenungnya. “Hati saya bukan untuk dijual. Hanya untuk dimiliki.”tautan mata mereka berdua terputus bila perempuan itu mengalihkan matanya semula pada kelopak-kelopak bunga yang berwarna-warni itu. Awan-gemawan ketika itu seolah-olah berhenti melihat mereka yang bermesra dengan bahasa.
            “Apakah kata laluan untuk melalui pagar berduri itu?” soal Yusof berbahasa Melayu baku.
            “Cari sendiri…” Yusof hanya ketawa kecil mendengar jawapan pendek itu. Pendek tapi padat!
            “Saya tak pernah jumpa orang macam awak,”
            “Cantik taman ni,” Yusof senyum lagi mendengar suara lembut yang mengubah topic perbualannya.
            “Mungkin saya ditakdirkan untuk bertemu dengan awak; lain dari yang lain,”
            “Saya nak buat taman macam ni,”
            “Anyway, saya bersyukur bertemu dengan awak,”
            “Taman ni, ind…”
            “Awak tak nak bagitahu saya apa awak rasa?” pintas Yusof mematikan kata-kata perempuan yang tidak mahu mendengar bicaranya itu. “Mustahil awak tak ada perasaan yang lain bila bersama saya?”
            “Kadang, bukan semua soalan perlu dijawab.” Kata suara itu perlahan.
            Yusof senyum mengangguk. “Benar. Tapi bila soalan itu soalan peperiksaan di sekolah, jawapan itu perlu,”
            “Tapi, soalan itu soalan kehidupan. Jadi, jawapan tidak perlu semata-mata hanya untuk mengejar markah dan gred,”
            Yusof tergelak lagi. Diliriknya wajah itu sekejap. Dia mendongak ke atas; dilihatnya awan seolah-olah senyum bersamanya; burung-burung yang terbang seolah-olah melambai ke arahnya dan mengucapkan ‘selamat berbahagia’ kepadanya; matahari yang sudah muncul sejak beberapa jam tadi seperti ingin menjadi penonton setia terhadap drama sulungnya pada pagi yang indah itu. Perempuan yang mula megorak langkah, berjalan meninjau taman itu dibuntuti dari belakang. Tidak lama kemudian, mereka berjalan seiring.
            “Sudah kering air liur sejak tadi, sekadar nama tak nak beri?” ujar Yusof bernada seperti mengungkap pantun dua kerat.
“Dah tahu air liur kering, kenapa masih jalan seiring?”
‘Amboi, membalas pantun ya?’ detik hati Yusof. “Bukan begitu cik adik manis. Pakai songkok tak pakai samping, ditegur oleh Ketua Kampung Merinding, biar saja air liur kering, berjalan seiring kerana awak tak ada pendamping,” balasnya spontan. “Nama saudari?” soalnya semula.
“Di Mesir, saya digelar hati.”
            Semakin lebar senyuman di bibir Yusof.  ‘Ah, perempuan ini. Berbunga-bunga bahasanya. Berbelit-belit susun bicaranya. Andai aku miskin bahasa, sampai mati aku terpinga-pinga menyusun dan mencari di mana kuih, di mana inti,’ bisik hati kecilnya.
            “Kita di Malaysia, bukan di Mesir,” ujar Yusof bernada rendah.
            “Bila saya di Malaysia, nama saya…”
            “Abang!” Yusof menoleh ke belakang. Adib dilihatnya meronta-ronta kerana ditarik pergi oleh seseorang berjaket hitam.
            “Abang!” Yusof memandang Adib yang sedang menatapnya sambil tersengih. “Lukisan mata tajam tu mana? Adib nak tiru. Adib nak lukis macam abang lukis, boleh tak?
            Yusof memandang kosong wajah Adib. Dia kembali memejam mata, mencari sesuatu yang hilang tadi. ‘Dia sudah tiada,’ bisiknya jauh di sudut hati.

7 Jun 2012

Sayembara Penulisan Novel

Assalamu'alaikum pembaca blog/silent reader(s) :)

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITMB-PENA-BERITA HARIAN

Tags : kak Liza, kak Faezah, Adik Pieja, Adik Pieya, Boss, Ammi PPU, Wiwieyana, Ammi, Mira, Rossaida, FarahMizah, Zai, Era, Hidayah, ..
        Sayembara ini sebenarnya bermula awal tahun lagi tapi saya baru tahu seminggu yang lepas. Tak apa, alhamdulillah kerana saya tahu melalui seorang akak yang juga merupakan seorang penulis, orang Sarawak. Saya tahu ketika akak Maslina Mahbu @ Armiza Nila (link FB) apabila beliau menghantar status mengenai sayembara ini. Terima kasih, akak Mas. ^.^

         Insya-Allah, saya akan turut serta dalam pertandingan ini. Saya tahu sukar untuk menembusi syarat-syarat pemilihan novel terbaik tetapi saya akan cuba. Sekurang-kurangnya saya mengutip pengalaman menghantar manuskrip saya kepada pihak penerbit nanti. Walaupun saya masih bergelar penulis belasan tahun (belasan tahun la sangat), saya akan cuba masuk ke gelanggang novelis-novelis popular itu. Sesiapa yang berminat, silalah sertai sayembara ini.



Mari menulis sambil berdakwah.
Salam mesra dan selamat menulis. :)
 

Mutiara Kata

Jika engkau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika engkau memerlukan keasyikan, cukuplah taat pada Allah sebagai keasyikanmu. Dan jika engkau memerlukan pengajaran, cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu.
(Saidina Ali Bin Abi Thalib)
___________________________________
Kecantikan seseorang bukanlah terletak kepada kepandaiannya sahaja(kata akal), kecantikan juga bukanlah dilihat daripada paras rupanya(kata nafsu), tapi kecantikan itu dilihat atas dasar akhlak mulianya(menurut Islam).
*****

Muhasabah Diri

Cuba fikir sejenak...

"Dapatkah anda menggerakkan anggota badan anda dengan kuasa anda?"

Sudah pasti tidak! Kita dapat menggerakkan anggota badan kita kerana kuasa-Nya. Maka, jangan sombong dengan Allah. Bersyukurlah...
__________________________________

Cuba fikir lagi.

"Apa tujuan kita hidup di muka bumi Allah ini?"

*Fikirkanlah...

Bisikan Hati

Cinta itu jarum mulia dan indah bersulam dengan benang hati jika disandarkan pada Dia Yang Maha Pencipta.
(Indah Cinta Bertauliahkan Iman)

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." (Imam Nawawi)