Ads 468x60px

.

30 Sep 2012

Petikan Biasa Sahaja

Assalamu'alaikum ibu, ayah, keluarga, rakan-rakan, sahabat dan silent reader(s). Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas semua yang berlaku sepanjang hidup saya. Alhamdulillah. Pahit, manis, suka, duka; semuanya bercampur baur dan hasilnya begitu nikmat. Bukankah setiap ujian yakni dugaan yang Allah beri kepada kita itu nikmat? Alhamdulillah... 
Di bawah ini, (senyum simpul) hanya petikan e-novel yang masih terbengkalai yakni masih berhabuk di folder 'Novelis Hidayah'. Petikan sebelum dan selepas petikan di bawah ini sudah siap. Saja nak hias blog ini dengan bait-bait kata yang tersimpan kemas di dalam folder 'Novelis Hidayah' itu kerana petikan ini mengingatkan saya tentang satu peristiwa  di mana saya bermesra dengan aura kebahagiaan. Alhamdulillah...


__________________________________________________

Yusof samar-samar terpandang kelibat seseorang di halaman rumahnya. Tertanya-tanya dia, siapa gerangan manusia yang berkunjung di rumahnya awal pagi itu. Dia mendekati manusia itu. Semakin dia berjalan untuk mendekati manusia itu, semakin jelas pada pandangan matanya seorang perempuan berdiri menghadap taman di situ.
“Assalamu’alaikum,”
“Wa’alaikumussalam,” jawab perempuan bertudung coklat itu.
“Awak cari saya?” teka Yusof.
Perempuan itu memalingkan tubuhnya; memandang Yusof. Yusof tersentak; perempuan yang dicarinya tempoh hari.
“Awak?” hampir serentak mereka mengungkap perkataan itu.
“Awak cari saya?” ulang Yusof sekali lagi.
“Kenapa saya perlu cari awak?”
“Habis tu? Awak buat apa datang awal pagi kat sini? Seorang pulak tu?”
“Tiga soalan awak. Mana satu nak jawab dulu?”
Yusof diam. Dia berdiri di sebelah perempuan yang sudah berpaling semula menghadap taman yang kehijauan. “Awak nak bagi tahu saya sesuatu?”
“Sesuatu? Tak ada rasanya.”
“Tapi, saya ada.”
“Saya tak tanya pun,”
“Saja nak beritahu,”
“Tak nak tahu pun.” Jawab perempuan itu sambil melihat jam tangannya.
“Awak…”
“Terima kasih dah tolong saya,” pintas perempuan itu.
Yusof menoleh sekilas kepada empunya suara itu. “Sejak jumpa awak, hati saya rasa semacam?”
“Tak faham.”
“Saya rasa sakit.” Ujar Yusof terus terang.
“Adakah saya menyakitkan awak?” suara itu bernada hairan.
“Ya.” Dia mengiyakan. “Saya rasa sakit bila awak datang hanya sekejap, kemudian pergi dengan cepat.”
“Huh, jangan bermain dengan kata,”
“Tanpa kata, bagaimana mahu bicara,”  Yusof mahu perempuan itu memahaminya; hatinya.
“Saya tahu awak banyak tolong saya. Jadi, jangan jadikan itu semua sebagai umpan awak agar saya termakan dengan kata-kata awak.  Dan…”
“Sampai hati awak. Saya tak berniat begitu.” Kata-kata perempuan itu seperti menambah luka di hatinya, tapi dibiarkan saja. “Awak kata awak dah ada tunang?”
“Bukan urusan awak,”
“Saya cuma nak pastikan,”
“Untuk apa,”
“Saya tak nak, apa yang saya tunggu selama ini sudah berpunya.”
Yusof menanti kata di bibir gadis yang berjaya melukakan hatinya itu. Angin dingin menemani mereka ketika itu. Mungkin angin juga menanti bicara perempuan di sebelahnya itu.
No couple, before nikah. Saya rasa empat patah perkataan ini sudah cukup untuk awak fahamkan. Saya belum fikir soal itu. Saya masih begini; sendiri.”
Senyum mula diukir dibibir. Yusof faham benar tiap bait kata-kata itu. Jadi, dia masih ada peluang. Malah peluangnya semakin cerah. Dan dia berharap peluang untuk memenangi hati si gadis itu tetap cerah umpama cerah pagi ketika itu. Semoga tiada awan mendung yang menutupi peluangnya nanti.
“Saya tunggu awak,” ujar Yusof dengan nada yang begitu tulus.
Perempuan itu berpaling; menatap wajahnya. “Apa maksud awak?”
“Kanak-kanak tadika sudah pandai mengeja 26 huruf yang sudah diajar oleh guru mereka,” kias Yusof.
“Tapi, mungkin mereka belum pandai untuk menulis 26 huruf itu,” Yusof berasa kagum dengan kecekapan perempuan itu menangkap butir bicaranya dan yang pasti, susunan maksud tersiratnya.
“Itu gunanya guru untuk mengajar mereka semua cara untuk menulis,” balasnya. Kemudian dia diam membatu. Menunggu-nunggu saat yang sesuai. “Sudikah awak menjadi zaujah saya?” sudah lama dipendam  soalan itu. Akhirnya sampai juga pada pendengaran perempuan itu.
“ Mungkin awak salah soalan?” teka perempuan itu.
“Soalan itu soalan wajib untuk dijawab,”
“Soalan  ramalan SPM kah?
“Tidak. Bukan soalan ramalan tetapi itu benar-benar soalan SPM. Sijil Perkahwinan Malaysia. Awak calon pertama dan terakhir untuk SPM yang didaftarkan atas nama saya.” Jawabnya mematikan bicara si gadis yang suka berbasa-basi itu.
Dilihatnya perempuan itu mengetab bibir. Geram barangkali. Biarlah. Dia tidak mahu perempuan itu membiarkan tiap soalannya sepi tanpa jawapan.
“Jawapan daripada soalan akhi itu umpama kerja rumah untuk enti siapkan. Bila sudah tahu jawapannya; berithu akhi. Semoga jawapan enti tepat seperti dalam skema jawapan SPM akhi.” Ujarnya penuh berharap. Entah kenapa perkataan akhi dan enti itu begitu lancar di bibirnya. “Saya tunggu awak,” ulang Yusof.
“Itu hak akhi nak tunggu saya atau tidak. Dan andai kata akhi jumpa muslimah lain dan berkenan kepadanya, itu juga hak akhi. Semog…”
“Buat masa ini, akhi tunggu enti dulu.” Pintas Yusof. “Akhi nak tunang dengan enti, bila enti dah sedia,”
“Itu saya tak pasti,”
“Saya tidak mahu membiarkan bunga yang tertanam di hati ini layu begitu saja. Saya tidak mahu bunga yang kembang subur di hati ini dikacau dek kumbang lain. Saban hari saya menyiram bunga itu,”
“Teruskan menyiram bunga itu dengan air kesabaran. Teruskan menjaga bunga itu dengan kasih sayang bersama keyakinan jodoh.” Yusof yang mendengar senyum penuh makna.
“Dan berserahlah pada-Nya sama ada Dia mahu bunga itu terus subur di hati saudara ataupun layu begitu saja,” Yusof mengangguk yakin. Kini dia faham. Perempuan yang sedang khusyuk memerhati bunga-bunga di taman itu bukan perempuan biasa. Setiap bait katanya tidak seperti air kopi tanpa gula, dan bukan juga bunga tanpa duri.
“Saya hormati kata-kata itu dan pasti saya semat di lembaran diari.”
“Lembaran diari saja? Simpan juga di dalam kotak memori. Takut apa yang awak semat itu hanya sekadar kenangan yang tidak bergula.
Yusof menoleh lagi memandang perempuan idamannya itu. Ah! Wajah itu tenang sahaja. Dia bersuara penuh bersahaja. Bagaimana dia mahu mencuri hatinya?
            “Jangan pernah curi hati saya. Hati saya dikelilingi pagar berduri.”
            Yusof kaget. Perempuan itu pandai membaca hatinya. Itu sudah parah. Tetapi bukankah itu lebih baik? Biar perempuan bertudung coklat itu tahu bahawa hatinya benar-benar ingin memilikinya.
            “Kenapa perlu dikelilingi pagar berduri?”
            “Agar tiada yang mampu mencurinya.”
            Yusof diam seketika. “Jadi, susahlah saya ingin bersua dengan hati kamu?”
            “Hati saya bukan murahan, tidak dijual di pasar malam.”
            “Oh…Harganya?” soal Yusof, berkias.
            “Tidak ternilai” Yusof senyum mendengar jawapan itu. “Hati saya bukan seperti novel; berlambak di pasaran.” Yusof menoleh pada wajah itu bila perempuan itu menatapnya, merenungnya. “Hati saya bukan untuk dijual. Hanya untuk dimiliki.”tautan mata mereka berdua terputus bila perempuan itu mengalihkan matanya semula pada kelopak-kelopak bunga yang berwarna-warni itu. Awan-gemawan ketika itu seolah-olah berhenti melihat mereka yang bermesra dengan bahasa.
            “Apakah kata laluan untuk melalui pagar berduri itu?” soal Yusof berbahasa Melayu baku.
            “Cari sendiri…” Yusof hanya ketawa kecil mendengar jawapan pendek itu. Pendek tapi padat!
            “Saya tak pernah jumpa orang macam awak,”
            “Cantik taman ni,” Yusof senyum lagi mendengar suara lembut yang mengubah topic perbualannya.
            “Mungkin saya ditakdirkan untuk bertemu dengan awak; lain dari yang lain,”
            “Saya nak buat taman macam ni,”
            “Anyway, saya bersyukur bertemu dengan awak,”
            “Taman ni, ind…”
            “Awak tak nak bagitahu saya apa awak rasa?” pintas Yusof mematikan kata-kata perempuan yang tidak mahu mendengar bicaranya itu. “Mustahil awak tak ada perasaan yang lain bila bersama saya?”
            “Kadang, bukan semua soalan perlu dijawab.” Kata suara itu perlahan.
            Yusof senyum mengangguk. “Benar. Tapi bila soalan itu soalan peperiksaan di sekolah, jawapan itu perlu,”
            “Tapi, soalan itu soalan kehidupan. Jadi, jawapan tidak perlu semata-mata hanya untuk mengejar markah dan gred,”
            Yusof tergelak lagi. Diliriknya wajah itu sekejap. Dia mendongak ke atas; dilihatnya awan seolah-olah senyum bersamanya; burung-burung yang terbang seolah-olah melambai ke arahnya dan mengucapkan ‘selamat berbahagia’ kepadanya; matahari yang sudah muncul sejak beberapa jam tadi seperti ingin menjadi penonton setia terhadap drama sulungnya pada pagi yang indah itu. Perempuan yang mula megorak langkah, berjalan meninjau taman itu dibuntuti dari belakang. Tidak lama kemudian, mereka berjalan seiring.
            “Sudah kering air liur sejak tadi, sekadar nama tak nak beri?” ujar Yusof bernada seperti mengungkap pantun dua kerat.
“Dah tahu air liur kering, kenapa masih jalan seiring?”
‘Amboi, membalas pantun ya?’ detik hati Yusof. “Bukan begitu cik adik manis. Pakai songkok tak pakai samping, ditegur oleh Ketua Kampung Merinding, biar saja air liur kering, berjalan seiring kerana awak tak ada pendamping,” balasnya spontan. “Nama saudari?” soalnya semula.
“Di Mesir, saya digelar hati.”
            Semakin lebar senyuman di bibir Yusof.  ‘Ah, perempuan ini. Berbunga-bunga bahasanya. Berbelit-belit susun bicaranya. Andai aku miskin bahasa, sampai mati aku terpinga-pinga menyusun dan mencari di mana kuih, di mana inti,’ bisik hati kecilnya.
            “Kita di Malaysia, bukan di Mesir,” ujar Yusof bernada rendah.
            “Bila saya di Malaysia, nama saya…”
            “Abang!” Yusof menoleh ke belakang. Adib dilihatnya meronta-ronta kerana ditarik pergi oleh seseorang berjaket hitam.
            “Abang!” Yusof memandang Adib yang sedang menatapnya sambil tersengih. “Lukisan mata tajam tu mana? Adib nak tiru. Adib nak lukis macam abang lukis, boleh tak?
            Yusof memandang kosong wajah Adib. Dia kembali memejam mata, mencari sesuatu yang hilang tadi. ‘Dia sudah tiada,’ bisiknya jauh di sudut hati.

Tiada ulasan:

 

Mutiara Kata

Jika engkau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika engkau memerlukan keasyikan, cukuplah taat pada Allah sebagai keasyikanmu. Dan jika engkau memerlukan pengajaran, cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu.
(Saidina Ali Bin Abi Thalib)
___________________________________
Kecantikan seseorang bukanlah terletak kepada kepandaiannya sahaja(kata akal), kecantikan juga bukanlah dilihat daripada paras rupanya(kata nafsu), tapi kecantikan itu dilihat atas dasar akhlak mulianya(menurut Islam).
*****

Muhasabah Diri

Cuba fikir sejenak...

"Dapatkah anda menggerakkan anggota badan anda dengan kuasa anda?"

Sudah pasti tidak! Kita dapat menggerakkan anggota badan kita kerana kuasa-Nya. Maka, jangan sombong dengan Allah. Bersyukurlah...
__________________________________

Cuba fikir lagi.

"Apa tujuan kita hidup di muka bumi Allah ini?"

*Fikirkanlah...

Bisikan Hati

Cinta itu jarum mulia dan indah bersulam dengan benang hati jika disandarkan pada Dia Yang Maha Pencipta.
(Indah Cinta Bertauliahkan Iman)

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." (Imam Nawawi)